Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, bantuan kepada pesawah-pesawah yang dikenal pasti mengusahakan tanaman padi di dalam dan luar jelapang itu diharap dapat menampung kos sara hidup mereka.

Beliau berkata, pemberian bantuan juga itu selari dengan pengumuman dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2018 yang mengumumkan peruntukan sebanyak RM150 juta kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi merea­lisasikan hasrat tersebut.

“Ini menunjukkan bahawa kerajaan prihatin terhadap pesawah-pesawah yang telah ba­nyak menyumbang kepada bekalan beras negara iaitu sebanyak 2.9 juta metrik tan setahun.

“Beras merupakan bahan komoditi yang sangat penting dalam menjamin bekalan makanan yang berterusan (food security),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan bantuan khas berkenaan bagi peringkat negeri Perak di Arena Square Chenderong Balai di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Badrul Hisham Mohd.; Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Jamal Harizan Yang Razali dan Pengarah Jabatan Pertanian Perak, Noorazmi Yahya.

Bantuan keseluruhan wang tunai berjumlah RM600 bagi setiap seorang pesawah itu akan disalurkan melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) masing-masing bermula Selasa ini.

Dalam pada itu, Tajuddin berkata, kerajaan mempunyai matlamat yang jelas bagi meningkatkan pendapatan pesawah supaya golongan itu dapat berdikari, justeru mampu ‘berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah’ dengan pekerja da­lam sektor lain.

Beliau berkata, bagi meningkatkan pendapatan pesawah dari­pada RM2,000 kepada RM4,000 sebulan, hasil produktiviti sawah perlu digandakan.

“Ketika ini, hasil purata pengeluaran nasional adalah sebanyak 5.6 tan metrik sehektar, jadi sasaran kita ialah menggandakannya menjadi lebih 10 tan metrik.

“Kita mahu melihat suatu hari nanti, pesawah di negara ini akan menjadi seperti petani-petani di negara maju dan mereka tidak terlalu banyak bergantung kepada pihak kerajaan,” katanya.