Azizan Baharuddin

Ketua Pengarah Institut Kefa­haman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Datin Dr. Azizan Baharuddin berkata, nilai aset yang tidak dituntut waris di negara ini semakin mening­kat dari tahun ke tahun.

“Pada 2006, dianggarkan terdapat satu juta tuntutan pusaka bernilai RM38 bilion yang masih beku, angka tersebut kemudiannya meningkat kepada RM40 bilion pada 2009 dan RM12 bilion pada 2011.

“Walaupun statistik tidak memperincikan jumlah aset orang Islam dan bukan Islam, kita percaya kebanyakan aset itu adalah milik orang Islam,” katanya ketika merasmikan seminar ‘Faraid dan Perancangan Pewarisan: Isu Harta Beku dan Penyelesaiannya di Malaysia’, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya, Dr. Mohd. Zaidi Ismail.

Azizan berkata, kurangnya kese­daran mengenai kepentingan pe­rancangan wasiat adalah antara faktor utama menyebabkan aset umat Islam tidak dituntut dan dibekukan di negara ini.

Pada masa sama, katanya, kea­daan itu tidak wajar dikaitkan dengan sistem faraid kerana setiap individu perlu mempunyai persediaan perancangan harta dari awal.

“Hasil kajian menunjukkan ma­salah ini berpunca daripada beberapa faktor termasuk kejahilan waris mengenai prosedur perlu diikuti, selain sikap waris yang tidak menghiraukan aspek wasiat.

“Kos tinggi dan proses birokrasi turut menyumbang kepada isu ini. Proses pengagihan harta menjadi lebih rumit apabila berlaku isu waris bertindih dan penipuan serta pertikaian dalam kalangan waris,” katanya.

Januari lalu, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Hamim Samuri, dilaporkan berkata, sikap ambil mudah menangguhkan permohonan pembahagian harta pusaka adalah antara faktor penyebab kira-kira RM60 bi­lion jumlah harta tidak dituntut oleh waris si mati sejak Malaysia mencapai kemerdekaan.

Jumlah tersebut diperoleh berdasarkan rekod Jabatan Ketua Pe­ngarah Tanah dan Galian melalui Bahagian Pembahagian Pusaka (BPP).