Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara projek yang mendapat peruntukan terbesar adalah meningkatkan kemudahan jalan luar bandar membabitkan lima projek melibatkan kos sebanyak RM135 juta selain tujuh projek bekalan air luar bandar dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM50.7 juta.

“Antara jalan luar bandar yang terlibat adalah jalan di tepi Su­ngai Muda dari Simpang Pokok Machang ke Kuala Sin di Bukit Selambau yang menelan kos RM38 juta, Jalan Padang Sera ke Siputeh di Kubang Pasu (RM15 juta) serta pembinaan jalan dan jambatan baharu Alor Ganu melalui Alor Madi menuju ke Titi Gajah di Kota Setar (RM40 juta).

“Selebihnya melibatkan Jalan Kampung Sungai Batu menuju ke Kampung Sungai Pasir dan Ladang Dublin di daerah Bandar Baharu (RM40 juta) serta penggantian jambatan kayu kepada jambatan konkrit di Kampung Pantai Prai, Mukim Sidam Kiri di Kuala Muda (RM2 juta),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis pecah tanah jalan tepi Sungai Muda dari simpang Pokok Machang ke Kuala Sin, Bukit Selambau di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pen­didikan, Pengangkutan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain serta Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pemba­ngunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, selain itu terdapat juga projek-projek kecil untuk bekalan air luar bandar yang melibatkan kos sebanyak RM7.2 juta.

“Semua yang saya nyatakan itu sudah pun diluluskan dan ada antaranya siap sementara sebahagian lagi sedang berjalan.

“Begitu juga dengan projek lampu jalan kampung. Setakat ini sebanyak 10,723 unit terdiri daripada 593 unit jenis diod pemancar cahaya (LED) dan 10,130 unit jenis High Pressure Sodium Vapour (HPSV) telah pun dipasang di kawasan luar bandar di seluruh negeri ini,” jelasnya.