Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Hasnal Hashim berkata, instrumen berusia 20 tahun menjadi komen utama juri dalam pertandingan Pertandingan Muzik Dunia di Belanda baru-baru ini yang menyebabkan sekolah itu hanya memperoleh pingat perak.

"Faktor itu bukanlah yang utama mengapa kumpulan itu kalah namun untuk memperoleh bunyi yang lebih sedap kita perlu menukarnya sekaligus memperolehi kemenangan pada masa akan datang.

"Beberapa instrumen yang akan ditukar nanti haruslah diteliti terlebih dahulu oleh jurulatih bagi memastikan alatan itu benar-benar sudah rosak," ujarnya dalam sidang akhbar ketika menyambut ketibaaan 68 ahli kumpulan muzik SP Wind di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini malam ini.

Kumpulan SP Wind memenangi pingat perak dalam Pertandingan Konsert Muzik Dunia pada 22 Julai lalu kategori harmoni yang melibatkan 20,000 pemuzik daripada 32 negara dan lima benua untuk anugerah tertinggi dalam muzik wind itu.

Pasukan itu kalah di tangan kumpulan pemuzik daripada Hong Kong yang memenangi pingat emas dalam kategori yang sama.

Menurut Hasnal, dana yang diperlukan itu akan dikumpul menerusi program amal dan konsert muzik yang akan diadakan selewat-lewatnya awal Januari tahun depan.

Sementara itu, ketua pasukan SP Wind, Liyana Syazwani Muhammad Jasman berkata, ini adalah kali pertama mereka menyertai pertandingan yang melibatkan pasukan-pasukan terbaik seluruh dunia dan itu sedikit sebanyak memberi semangat untuk melakukan yang terbaik.

Katanya, kebanyakan pasukan lain mempunyai pengalaman yang lebih banyak berbanding mereka dan memperolehi pingat perak sudah cukup bermakna buat kumpulan itu.

"Sudah pasti kami sasarkan untuk memperoleh emas namun memenangi perak sudah cukup membanggakan bagi kami dan kami akan cuba yang terbaik dalam pertandingan seperti ini pada masa akan datang," ujarnya.

Malah katanya, antara cabaran utama kumpulan itu dalam pertandingan berkenaan adalah terpaksa membuat latihan dalam masa yang pendek iaitu sehari sebelum pertandingan berlangsung. - UTUSAN ONLINE