Pertandingan bertemakan pengembaraan itu akan diadakan pada 15 Disember ini dengan peserta diberikan masa satu jam 30 minit untuk mengembara di dalam Zoo Negara bagi mendapatkan gambar terbaik untuk dipertandingkan.

Zoo Negara dalam satu kenyataan berkata, peserta dibenarkan menggunakan semua jenis kamera termasuk telefon bimbit dan tablet kecuali kamera pada pesawat dron.

“Pertandingan fotografi Zoo Negara Photo Explorers menawarkan hadiah yang menarik buat seisi keluarga dan ia terbahagi kepada kategori terbuka, kategori pelajar sekolah (menengah dan rendah) serta kategori khas Harimau Malaya,” kata kenyataan itu.

Kategori Khas Harimau Malaya memerlukan peserta merakam gambar di sekitar Zoo Negara dengan tema Harimau dan kategori khas ini menawarkan hadiah berjumlah RM5,555.55 manakala kategori terbuka dan sekolah masing-masing menawarkan hadiah utama berjumlah RM5,000 dan RM1,000.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dalam laman web rasmi pertandingan pada pautan www.zoonegara.photocontest.my. - UTUSAN ONLINE