Menurut Suwaibah, kos tersebut meliputi tiket penerbangan ke pelbagai negara di seluruh dunia, permohonan visa, penginapan dan makan minum serta kelengkapan berkaitan larian beliau di setiap negara terbabit.

Katanya, beliau kini giat mengumpul dana tersebut dengan kerjasama pelbagai pihak di samping membuat persiapan mental dan fizikal bagi menakluk menara tertinggi di Rusia iaitu Menara Ostankino di Moscow yang memiliki ketinggian 540 meter dalam masa terdekat.

"Setakat ini saya berjaya mendapatkan penajaan daripada GISB Holding Sdn Bhd dalam bentuk tiket kapal terbang dan penginapan di beberapa buah negara. Selain itu ada juga penajaan daripada beberapa pihak lain.

"Memandangkan misi ini mengambil masa lama iaitu sehingga 2020, saya akan teruskan usaha mengumpul dana sedikit demi sedikit sehinggalah kesemua 30 menara tertinggi di dunia ini ditakluki satu persatu," katanya.

Beliau ditemui dalam Tayangan Perdana Telefilem 'Meigho' serta Majlis Memperkenalkan Pelari Solo Negara yang disempurnakan oleh Menteri Pertahanan merangkap Penaung misi tersebut, Mohamad Sabu.

Meigho merupakan karya sulung pengarah Zack Zaideen menerusi syarikat penerbitannya sendiri iaitu ZZ Karya Production Sdn. Bhd. Zack Zaideen sebelum ini popular dalam kalangan peminat seni teater tempatan.

Telefilem itu diadaptasi daripada kisah benar mengenai kehidupan pelacur bernama Jaghoh yang membela hantu raya dan mengamalkan ilmu hitam bagi menawan hati pelanggan dan kekal cantik di Kota Bharu yang pernah mempunyai pusat pelacuran sekitar 1960-an.

Sementara itu, Zack Zaideen ketika ditemui berkata, ZZ Karya Production turut terpanggil untuk membantu Suwaibah melengkapkan misi beliau itu dengan cara menyumbang hasil kutipan sempena tayangan perdana Meigho di beberapa lokasi. - UTUSAN ONLINE