Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, skim itu bertujuan menyediakan pinjaman perumahan kepada pe­nerima RMMJ berpendapatan di bawah RM5,000 sebulan.

Katanya, seramai 4,000 pemohon yang terdiri daripada pe­nerima RMMJ baharu dan permohonan pembiayaan mereka yang ditolak sebelum ini dijangka mendapat manfaat daripada penyediaan skim terbabit.

“Pemohon haruslah menepati kriteria iaitu selain berpendapatan di bawah RM5,000 sebulan, mereka juga haruslah merupakan rakyat negeri ini.

“Tujuannya adalah untuk mengelak manipulasi selain memastikan rakyat negeri ini berkeupayaan memiliki rumah kediaman sendiri,” katanya sewaktu menyempurnakan majlis kerjasama antara kerajaan negeri dan institusi perbankan tersebut di sini.

Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Tan Sri Mohamad Aziz; Pengerusi Kumpulan Ambank, Tan Sri Azman Hashim dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abdul Latif Bandi.

Sehingga Julai 2016, sebanyak 24,000 surat tawaran RMMJ sudah dikeluarkan bagi pemohon yang layak namun hampir 9,000 daripadanya gagal mendapatkan pembiayaan kewangan daripada bank konvensional.

Kata Mohamed Khaled, skim yang diperkenalkan itu mampu mengatasi masalah dihadapi sebilangan pemohon RMMJ khususnya berhubung pembiayaan kewangan mereka.

“Antara golongan sasar skim ini termasuk yang berpendapatan tidak tetap, seperti peniaga kecil-kecilan, bekerja secara kontrak dan lain-lain,” ujarnya.