Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, berbanding terminal kargo yang dikendalikan operasinya oleh Multimodal Freight Sdn. Bhd. (MMF) iaitu anak syarikat KTMB pada masa kini, hanya mampu mengendalikan kargo 120,000 TEU setahun.

Beliau berkata, antara kemudahan yang akan dinaik taraf terma­suk pembinaan bangunan pejabat, kerja-kerja di lapangan kontena dan trek kereta api untuk bahagian kargo serta laluan lori kontena.

Menurutnya, projek menaik taraf itu bukan sahaja akan memberikan limpahan ekonomi kepada rakyat negeri ini, malah sehingga ke peringkat nasional.

“Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) selaku agensi pelaksana sedang giat melaksanakan projek ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Integrasi dan Menaik Taraf Fasiliti Terminal Kargo KTMB di KTMB Fleet Depot, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Eksekutif  NCIA, Datuk Redza Rafiq; Pengerusi KTMB, Datuk Ir. Nawawi Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Investment Development Authority (MIDA), Datuk Azman Mahmud.

Sementara itu, Redza berkata, projek menaik taraf tersebut diharap akan dapat mengatasi ke­sesakan sedia ada di pintu masuk utama kawasan sempadan Malaysia-Thailand berkenaan.

“Ini kerana ia akan membantu untuk meningkatkan kecekapan dalam pengendalian kontena dan barangan pelepasan di pintu sempadan,” katanya.

Beliau berkata, pada tahun lalu MMF mencatatkan jumlah kemasukan kargo hampir 120,000 TEU dari selatan Thailand melalui Padang Besar sekali gus me­nunjukkan potensinya untuk te­rus berkembang.