Perdana Menteri berkata, peruntukan itu merupakan satu suntikan bagi membantu koperasi, selain mengiktiraf peranan mereka yang terlibat dalam program ini.

“Komitmen kerajaan untuk membangunkan koperasi akan terus berada pada tahap se­tinggi mungkin, apatah lagi jika kita memastikan kerajaan sedia ada hari ini dapat mandat baharu dan saya yakin koperasi di seluruh tanah air akan maju dan menerima lebih banyak faedah pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sam­butan Hari Koperasi Negara 2018 yang membawa tema Rakyat Sejahtera Bersama Koperasi dengan slogan Satu Untuk Semua, Semua Untuk Satu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini.

Program itu turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Pre­siden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Menurut Perdana Mente­ri, sebagai sebuah institusi yang penting, koperasi boleh memainkan peranan dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara, selain melahirkan budaya keusahawanan dan mengurus tadbir perniagaan dengan lebih baik.

“Untuk mencapai matlamat itu, semua perlu menggembleng tenaga untuk mencapai arah hala tuju dan apabila menteri (Hamzah) menyebut akan menggubal Akta Koperasi, sebagai Perdana Menteri saya menyokong penuh usaha ini,” jelas beliau.

Pada majlis tersebut, Najib turut menyampaikan Anugerah Koperasi Terbaik 2018 kepada Koperasi Pegawai Kerajaan Kedah Darul Aman Berhad; Anugerah Koperasi Berpotensi 2018 (Koperasi Profesional Putrajaya Berhad) dan Anugerah Tokoh Koperasi Negara 2018 kepada Pengerusi Koperasi Serbaguna Anak-anak Selangor Berhad (Kosas), Datuk Md. Aini Taib.

Sementara itu, dalam Majlis Pengisytiharan Sungai Rambai sebagai Daerah Kecil dekat Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM290 juta untuk projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Melaka bagi mengatasi masalah banjir pada masa hadapan.

Perdana Menteri berkata, peruntukan tersebut yang telah diluluskan melibatkan empat kawasan RTB di negeri ini iaitu Jasin, Merlimau, Sungai Duyong dan Alor Gajah.

Dalam pada itu, Najib menyifatkan pembangunan RTC Sungai Rambai sebagai antara usaha kreatif kerajaan dalam mendahului kepentingan serta pencapaian rakyat dan bukan kerana tujuan politik.

“Pada hari ini, kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan termasuklah RTC dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang menggabungkan perkhid­matan kerajaan di satu bangunan sama bagi memudahkan urusan masyarakat.