Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, pembinaan jalan sepanjang dua kilometer (km) itu bakal memanfaatkan kira-kira 600 penduduk dari tiga buah kampung iaitu Kampung Bukit Besi, Lepan Peringat dan Kerilla.

“Jalan sedia ada sebelum ini telah mengalami kerosakan teruk kesan daripada banjir lumpur akibat perlombongan bijih besi di kawasan berhampiran.

“Jadi untuk JPD ini, kita membina jalan mengikut kesesuaian kerana ada sesetengah kawasan sering mengalami limpahan air termenung,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan JPD Bukit Besi ke Lepan Peringat di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Machang, Wan Mohd. Adnan Wan Abdul Aziz.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), Mukim Temangan Lama, Raja Busu Raja Ismail berkata, kemudahan jalan baharu ini amat dinanti-nantikan oleh penduduk di sini.

“Sebelum ini, keadaan jalan di kawasan ini agak teruk sehingga menyukarkan penduduk setempat untuk menghantar anak ke sekolah atau keluar ke bandar.

“Malah ada sesetengah penduduk terpaksa melalui jalan lain yang agak jauh selain kawasan ini juga sering berlaku kemalangan,” katanya.- UTUSAN ONLINE