Perdana Menteri turut mengumumkan pelanjutan program Dana Mudahcara Bumiputera Fasa Kedua dengan peruntukan lanjutan sebanyak RM2 bilion mulai tahun ini.

Beliau berkata, insentif pertama adalah untuk penyenaraian syarikat PKS di Pasaran Platform Pemecut Usahawan Utama (LEAP) atau LIVE dengan peruntukan RM50 juta.

Untuk tujuan itu, kata beliau, geran bersamaan berjumlah RM500,000 akan diberikan kepada setiap syarikat yang berjaya disenarai dan dimasukkan dalam Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) di bawah SME Corp. Malaysia (SME Corp.).

“Kedua, insentif Program Local to Global Corporation Ascend 800 atau LGC 800 dengan peruntukan berjumlah RM40 juta. Insentif ini memanfaatkan 80 syarikat PKS bumiputera berprestasi tinggi dalam bentuk pinjaman mudah sehingga RM500,000 bagi setiap syarikat.

“Ketiga, adalah dana insentif bagi Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) sebanyak RM60 juta bagi 2019 untuk mempersiapkan dan melatih 3,000 belia bumiputera,” katanya ketika ber­ucap merasmikan Himpunan Usahawan Bumiputera 2018 (HUB 2018) di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil di sini, yang mengumpulkan 14,000 penggiat PKS seluruh negara.

HUB 2018 turut mempromosikan produk perkhidmatan PKS serta menyebarkan maklumat me­ngenai insentif dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan selain memberi idea dan inspirasi kepada usahawan-usahawan baharu.

Mengulas lanjut, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, insentif keempat adalah galakan elaun peningkatan eksport bagi PKS dilanjutkan untuk tempoh dua tahun lagi iaitu sehingga 2020.

Kelima jelasnya, merupakan inisiatif pelaksanaan Wira e-Dagang Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) dengan peruntukan RM50 juta untuk 1,000 PKS bumiputera dalam tempoh tiga tahun.

Jelasnya, insentif keenam adalah SpeedMeUp dengan peruntukan RM50 juta di bawah SME Corp. yang mana syarikat-syarikat startup bumiputera akan dibantu dengan geran bersamaan sehingga RM250,000 untuk memulakan operasi perniagaan.

“Ketujuh, adalah dana sebanyak RM500 juta disediakan bagi mempergiatkan pembangunan usahawan bumiputera dalam industri peruncitan dan pengedaran yang mana RM200 juta diperuntukkan oleh kerajaan dan RM300 juta lagi dari Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB),” katanya.

Kata Najib, insentif kelapan melibatkan pelanjutan Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (Spike) oleh Mara berjumlah RM50 juta.

Kata beliau, insentif kesembilan adalah memperkasakan Unit Pe­neraju Agenda Bumiputera (Teraju).

“Yang kesepuluh dan kese­belas, melibatkan sebanyak RM60 juta akan diperuntukkan di bawah dana insentif pelaburan bagi melonjak pemilikan ekuiti bumiputera yang terlibat dalam sektor strategik terpilih,” ujarnya.