Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini terbukti apabila lebih RM2.35 bilion telah dibelanjakan sejak Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Kos Sara Hidup yang diperkenalkan sejak tahun 2011.

Beliau yang juga Pengerusi Ja­watankuasa Kabinet Bagi Mena­ngani Kos Sara Hidup berkata, pelbagai inisiatif direka khusus untuk membantu mengurangkan beban kewangan yang dihadapi oleh rakyat terutamanya golongan B40.

“Pada tahun-tahun kebelaka­ngan ini, faktor luaran seperti har­­ga komoditi dan naik turun ma­ta wang telah mempengaruhi sesetengah komponen kos sara hidup rakyat selain diburukkan lagi dengan kenaikan harga.

“Bagaimanapun, kerajaan sentiasa prihatin dengan memberikan bantuan segera dan jangka pendek seperti program Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), Bantuan Awal Persekolahan 1Malaysia (BKAP1M), Klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia dan Kedai Kain Rakyat 1Malaysia (KK1M),” katanya dalam buku laporan tahunan 2016 Program Transformasi Negara.

Ahmad Zahid memberitahu, BR1M yang merupakan program utama inisiatif dalam kos sara hidup ini telah memberikan impak terhadap rakyat.

Katanya, sejumlah RM19.33 bilion telah diagihkan sejak 2012 dengan RM5.36 bilion daripada­nya pada tahun lalu, yang memberikan manfaat kepada 7.28 juta isi rumah.

“Selain itu, satu panel peringkat tertinggi yang terdiri daripada enam kementerian berkaitan telah diwujudkan Januari tahun lalu dalam fokus menangani isu kos sara hidup.

“Malah 20 Klinik 1Malaysia baharu telah beroperasi dengan seramai 6.47 juta penduduk negara ini menggunakan perkhidmatan tersebut,” jelasnya.

Tambah Ahmad Zahid, penyediaan rumah berkualiti dan mampu milik kepada golongan berpendapatan rendah serta sederhana juga menjadi antara ke­utamaan kerajaan dalam menangani kos sara hidup.

“Program MyDeposit dilancar pada bulan April 2016 untuk membantu pembeli rumah kali pertama manakala golongan miskin bandar diberi keutamaan untuk memiliki rumah Projek Perumahan rakyat (PPR),” ujarnya.