Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jambatan sepanjang 15 kilometer itu akan menghubungkan dua daerah dari Kampung Mela, Lipis ke Kampung Labu, Jerantut.

“Program di bawah program jalan luar bandar ini akan memberikan manfaat besar kepada penduduk setempat dan juga pengguna jalan raya di kedua-dua daerah berkenaan.

“Pembinaan jalan termasuk sembilan jambatan ini sedang dalam proses tender sebelum dijangka pembinaan dimulakan pada Januari tahun hadapan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan tinjauan di jambatan konkrit menyeberangi Sungai Jelai di Kampung Gemunchor di sini hari ini.

Jambatan baharu itu menggantikan jambatan asal yang diperbuat daripada kayu balak yang digunakan penduduk sejak sekian lama dan sering ditenggelami air.

Menurut Ismail Sabri, pembinaan jalan berkenaan merupakan usaha berterusan kerajaan dalam memastikan keselesaan rakyat khususnya di luar bandar.

Tambahnya, selain membina laluan jalan menghubungi dua daerah itu pihaknya turut meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi membina jalan di Kampung Gemunchor.

“Saya sendiri lihat dan memang jalannya teruk dan rendah menyebabkannya mudah banjir. Selain daripada jalan kita juga akan pertimbangkan untuk mencari penyelesaian masalah air yang disuarakan,” ujarnya.