Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad berkata, sebanyak 2,000 bilik darjah terlibat dalam proses itu merangkumi 1,000 buah sekolah di seluruh negara.

“Bilik darjah tersebut akan dilengkapi pelbagai kemudahan teknologi seperti papan pembelajaran pintar (smart board) dan gajet lain terma­suk komputer atau komputer riba dan tablet pintar.

“Ini adalah sesuatu yang baharu dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu melihat transformasi dalam pem­belajaran dan pengajaran di da­lam bilik darjah menggunakan teknologi pintar,” jelasnya.

Peruntukan tersebut adalah peruntukan khas yang dikhususkan bagi proses transformasi yang disediakan dalam Bajet 2018.

Alias berkata, kementerian sedang menyusun beberapa kriteria dalam pemilihan sekolah yang akan menerima bantuan khas itu sama ada sekolah menengah atau rendah, kategori kecemerlangan dan kriteria lain.

Menurut beliau, pemilihan itu akan meliputi semua sekolah termasuk sekolah di bandar, pinggir bandar serta pedalaman dan yang paling penting adalah sistem sambu­ngan dengan internet.

“Internet merupakan elemen terpenting bagi bilik darjah pintar kerana kebanyakan sistem dan gajet yang digunakan memerlukan sambungan internet yang baik,” katanya.

Alias berkata, proses transformasi bukan hanya setakat bilik darjah kerana pelan pendidikan juga akan turut bergerak seiring dengan keperluan semasa terutama bagi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Menurutnya, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) sedang berjalan sejak 2013 sehingga 2025 dan dengan asas yang kukuh itu kementerian akan meneruskan sehingga 2050.

Tambahnya, kementerian sedang mengumpul data daripada semua pihak termasuk guru-guru muda, ibu bapa dan juga ke­satuan dalam memastikan sistem pedidikan terbaik dapat diberikan kepada murid.

“Kita perlu menyiapkan anak-anak kita bagi menghadapi Revolusi Perindustrian 4.0 dengan merangka hala tuju pendidikan agar kita tidak ketinggalan.

“Kementerian mahu melihat lepasan sekolah boleh dipasarkan pada masa depan terutamanya apabila 60 peratus jawatan yang ada kini tidak lagi wujud ketika itu,” katanya.