Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, projek pertama iaitu Projek Saluran Paip Berkembar Dasar Laut Butterworth-Pulau Pinang yang bernilai RM125 juta untuk mengepam air terawat dari Sungai Dua telah bermula dan dijadual siap menjelang Disember 2020.

Katanya, projek kedua iaitu projek Fasa 1 Pusat Kawalan Bekalan Air Pulau Pinang bernilai RM6.1 juta di Loji Rawatan Air Sungai Dua juga telah dilancarkan bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng, Mac lalu bagi memantau pelaksanaan operasi ‘real-time’ bekalan air harian di negeri ini.

“Terbaharu, kerajaan negeri menerusi PBAPP bersetuju untuk melancarkan projek Kolam Air Bukit Dumbar 4 (BDR4) bernilai RM9.3 juta bagi membolehkan lebih banyak air terawat dipam khususnya ke kawasan selatan Pulau Pinang.

“Ini kerana permintaan air di Pulau Pinang kini meningkat kepada 11 peratus daripada purata 744 juta liter sehari (MLD) pada 2008 kepada purata 826 juta MLD pada 2017,” katanya pada majlis pelancaran projek tersebut di Bukit Dumbar, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE