Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, bayaran khas sebanyak RM1,500 itu merupakan tanda terima kasih dan penghargaan kerajaan terhadap sumbangan golongan tersebut selama ini.

Katanya, pemberian itu kali pertama diadakan setelah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2018.

"Pemberian sebanyak RM1,500 ini merupakan tanda terima kasih dan penghargaan kerajaan terhadap semua imam, bilal, siak, guru takmir dan guru Kafa di seluruh negara,

"Selain itu, peruntukkan sebanyak RM54.8 juta juga disalurkan kepada kerajaan Perak bagi bayaran imbuhan bulanan kepada imam, guru takmir dan guru Kafa.

"Peruntukkan tahunan itu melibatkan 4,774 penerima iaitu imam (1,310), guru takmir (314) dan guru Kafa (3,150)," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Peruntukan Kerajaan Persekutuan dan Bayaran Khas 'One Off' kepada Imam, Bilal, Siak, Guru Takmir dan Guru Kafa negeri Perak 2018 di Dewan Jubli Perak, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha dan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria. - UTUSAN ONLINE