Yayasan Angkasa merupakan anak syarikat Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) yang bertanggungjawab menyediakan kemudahan pembiayaan dan boleh diubah kepada biasiswa bagi ahli koperasi serta anak-anak mereka melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara.

Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, sebanyak RM1.4 juta pinjaman pendidikan disalurkan kepada 112 pelajar bagi tahun 2018-2019.

Kata beliau, pinjaman pendidikan yang diperuntukkan melibatkan pembiayaan bagi melanjutkan pengajian sepenuh masa, separuh masa, pengajian jarak jauh (PJJ) sama ada di pe­ringkat ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah (PhD).

“Pembiayaan Yayasan Angkasa juga boleh ditukarkan kepada biasiswa sekiranya mereka memperoleh prestasi dan pencapaian cemerlang dalam pendidikan. Ini merupakan satu cara memberi motivasi agar pelajar sentiasa berada pada tahap tertinggi dan mencapai keputusan cemerlang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Dokumen Pembiayaan Yayasan Angkasa, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Fattah berkata, sebanyak RM8.23 juta atau 70 peratus daripada jumlah RM12.6 juta pinjaman pendidikan telah ditukarkan kepada biasiswa.

Katanya, bagi pelajar yang memperoleh pencapaian gred kelas pertama, pinjaman mereka diberikan biasiswa sepenuh­nya.

Terdahulu, dalam satu program di Genting Highlands, Bentong, Pahang semalam, Abdul Fatah berkata, Angkasa mengenal pasti tiga sektor utama yang boleh meningkatkan pendapatan gerakan koperasi bagi mencapai sasaran perolehan RM55 bilion menjelang 2020 sepertimana ditetapkan kerajaan.

Beliau yakin sasaran baharu itu mampu dicapai dengan kerjasama semua pihak meskipun tempoh peningkatan sasaran sebanyak RM5 bilion itu singkat.

“Walaupun kita memerlukan kira-kira RM13 bilion lagi bagi mencapai sasaran menjelang 2020 selepas menjangkakan perolehan 2018 sebanyak RM42 bilion, ia tidak mustahil dan kita yakin komitmen serta kerjasama semua pihak dapat dicapai,” katanya.