Pengerusi Penaja Mains, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, misi itu dijangka akan melibatkan penghantaran barangan keperluan termasuk makanan serta ubat-ubatan kepada mereka yang memerlukan di Palestin, Syria, Myanmar dan Somalia.

“Misi ini dijangka disertai kira-kira 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan luar negara. Mereka akan dibahagikan tugas masing-masing bagi menjayakan misi ini yang akan melibatkan penghantaran bantuan melalui pesawat.

“Buat masa ini, para sukarelawan kita sedang mengenalpasti jenis bantuan yang diperlukan oleh rakyat negara-negara berkenaan. Ini kerana, situasi yang berlaku di negara-negara berkenaan adalah berbeza di antara satu sama lain,” kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Food Flotilla For Myanmar (FFFM) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Azmi yang juga Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) itu turut mengalu-alukan sumbangan pelbagai bagi menjayakan misi berkenaan dan bantuan itu boleh disalurkan terus menerusi akaun Bank Islam 020-200-100-722-72 atas nama Mapim. - UTUSAN ONLINE.