Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

RM1.5 bilion bantu Proton

Bayaran kepada vendor bekalkan komponen syarikat automobil negara

Mustapa Mohamed 2
Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR 8 April - Kerajaan meluluskan pinjaman mudah berjumlah RM1.5 bilion kepada Proton Holdings Berhad (Proton) bagi membolehkan syarikat automotif itu membuat pembayaran kepada vendor-vendor yang membekalkan komponen kepadanya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, dalam masa sama, Proton perlu memenuhi beberapa syarat yang dikenakan untuk memulihkan perniagaannya termasuk meyakinkan kerajaan tentang model perniagaan baharunya yang berdaya maju dan berdaya saing.

Katanya, Proton perlu melaksanakan tiga perkara utama iaitu mewujudkan pelan penstrukturan semula dan menyediakan pelan strategik untuk memperluaskan pasaran di dalam dan luar negara.

Di samping itu, menurut beliau, Proton juga harus mendapatkan rakan kongsi terkemuka yang akan membantu dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) supaya mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

“Langkah ini dilaksanakan memandangkan kerajaan sedar bahawa industri automotif adalah industri yang strategik. Proton setakat ini mempunyai 12,000 pekerja yang bekerja secara langsung dan kira-kira 50,000 lagi yang bekerja dengan syarikat-syarikat vendor yang bergantung kepada syarikat ini.

“Keputusan Kabinet ini turut mengambil kira kebajikan kira-kira 60,000 pekerja yang bergantung secara langsung kepada masa depan Proton,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

DRB-Hicom Bhd. (DRB-Hicom) pada 25 Mac lalu mengumumkan pelantikan Datuk Ahmad Fuaad Mohd. Kenali sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Proton menggantikan Datuk Abdul Harith Abdullah yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan bagi Pengedaran Automotif dan Pertahanan DRB-Hicom.

Selang beberapa hari kemudian, Proton mengumumkan peletakan jawatan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Pengerusinya, berkuat kuasa serta-merta. Beliau memegang jawatan Penasihat Proton sejak 2003 selepas bersara sebagai Perdana Menteri keempat dan dilantik Pengerusi syarikat bermula 16 Mei 2014.

Mustapa sebelum ini berkata, kerajaan telah memperuntukkan bantuan kepada Proton dalam bentuk geran dan pelbagai bentuk bantuan lain serta cukai yang tidak dikutip berjumlah RM13.9 bilion sejak syarikat itu ditubuhkan pada 1983.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad baru-baru ini berkata, penstrukturan semula Proton adalah penting untuk membawa perubahan kepada industri automotif secara keseluruhan termasuk vendor-vendor yang turut me­nerima kesan daripada kelembapan ekonomi.

Menurut Mustapa, bagi memastikan program transformasi Proton mencapai kejayaan, sebuah pasukan petugas ditubuhkan dengan diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Datuk Seri Idris Jala yang turut disertai tiga wakil daripada sektor swasta dan kerajaan.

Katanya, wakil kerajaan terdiri daripada Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Unit Pe­rancang Ekonomi manakala wakil-wakil sektor swasta akan dikenal pasti secepat mungkin.

“Selain daripada memastikan syarat-syarat pinjaman mudah dipatuhi, pasukan ini juga dikehendaki meneliti model perniagaan Proton pada masa lalu, mengenal pasti kelemahan dan langkah-langkah untuk mengatasinya,” katanya.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain