Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika mengesahkan perkara itu bagaimanapun tidak menyebut bila Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Marang itu akan dipanggil.

"Yang ini satu perkara saya tak tolak kemungkinan. (Bila Abdul Hadi akan dipanggil) itu saya tak dapat komen lah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan tayangan perdana video pendek anti rasuah di Lotus Five Star (LFS) Cinema di PB Sentral di sini hari ini.

Beliau mengulas perkembangan siasatan berhubung bayaran RM1.4 juta yang didakwa dibuat oleh Abdul Hadi kepada Clare sebagai langkah penyelesaian luar mahkamah kes saman melibatkan kedua-dua belah pihak.

Azam seterusnya berkata, siasatan mengenai kes berkenaan masih diteruskan dan pihaknya menjangkakan beberapa individu lagi akan dipanggil selepas ini bagi membantu siasatan.

Malah beliau menjelaskan bahawa SPRM tidak pernah mengumumkan siasatan kes berkenaan sudah ditutup.

"Siasatan masih lagi dijalankan dan kita tak pernah umumkan siasatan telah ditutup. Cukup saya katakan yang siasatan masih dijalankan berhubung perkara ini dan memang ada individu lagi yang akan dipanggil untuk lengkapkan siasatan," katanya sambil menambah sehingga kini 35 orang saksi sudah dipanggil berkaitan kes itu.

Dalam perkembangan lain, beliau mencadangkan agar Mahkamah Sesyen Khas Rasuah yang sedia ada diperkasakan atau dinaik taraf kepada Mahkamah Tinggi Khas Rasuah dan juga Mahkamah Rayuan Khas Rasuah agar lebih efisyen dalam menyelesaikan kes-kes rasuah.

Beliau seterusnya mengalu-alukan langkah kerajaan untuk menubuhkan mahkamah khas rasuah sebagaimana dinyatakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini bagi membolehkan kes rasuah dikendalikan lebih cepat.

"Itu satu langkah amat baik, (bagaimanapun) mahkamah khas rasuah memang telah ada. Mahkamah Sesyen Khas Rasuah memang wujud di negara kita sejak 2012 lagi.

"Yang ini adalah memperkasakan Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di mana ia menjangkau kepada mahkamah tinggi (Mahkamah Tinggi Khas Rasuah) dan mahkamah rayuan (Mahkamah Rayuan Khas Rasuah).

"Pada saya selain usaha wujudkan mahkamah rasuah ini, mungkin pihak kerajaan boleh lihat tahap penjawatan hakim di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, mungkin boleh tingkatkan grednya dari yang ada sekarang," katanya. - UTUSAN ONLINE