Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff berkata, bayaran RM1,000 berbanding RM1,500 bagi empat hektar tanah sebulan itu mencukupi untuk menampung kehidupan mereka.

“Isu ini bagi saya sengaja diperbesarkan pihak tertentu. Dengan RM1,000 sebulan tidaklah sampai tidak makan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, ada di antara peneroka pinjaman sara hidup dipotong RM500 kerana mengambil barang keperluan harian di kedai-kedai Felda.

“Sebahagian besar peneroka juga mendapat wang daripada anak-anak yang sudah bekerja di luar. Hanya kurang 10 peratus yang betul-betul susah seperti ibu tunggal dan sebagainya,” katanya.

Sulong Jamil turut menegaskan JKPP tidak pernah mencadangkan kepada pihak peng­urusan untuk penurunan kadar bayaran pinjaman sara hidup.

Katanya, sebagai badan ter­tinggi peneroka, JKPP menghormati keputusan Ahli Lembaga Felda dan faham mengenai masalah kewangan yang dihadapi.

Walau bagaimanapun, beliau mempunyai tiga persoalan kepada Pengarah Besar Felda, Datuk Dr. Othman Omar sebelum melaksanakan keputusan tersebut.

“Adakah Menteri sudah maklum dan setuju dengan pemotongan ini, JKPP tidak mahu buat keputusan dua kali, sebab dalam keputusan pada 25 Mac lepas, Menteri tidak bersetuju.

“Saya juga hendak bertanya adakah pihak pengurusan sudah mengkaji terma-terma perjanjian yang mana dalam klausa tiga perjanjian tanam semula ada menya­takan peneroka berhak menya­man Felda sekiranya wang sara hidup tidak dibayar,” katanya.

“Soalan terakhir, apa jaminan Felda tentang penurunan ini, adakah mereka boleh membayar wang sara hidup ini mengikut jadual? JKPP membuat keputusan ini sebagai menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Mesyuarat Lembaga bilangan 387 pada 13 Disember lalu,” katanya.