Pereka, Rizman Nordin yang mewakili Rizman Ruzaini berkata, pihaknya diberi pengiktirafan untuk menyertai acara fesyen berprestij itu oleh penganjur, iaitu Persatuan Wanita Bumiputera dalam Perniagaan dan Profesyen (Peniagawati) untuk memperagakan 20 rekaan busana, sebaris dengan pereka-pereka antarabangsa lain.

“Ini merupakan penyertaan pertama kami dalam Minggu Fesyen New York. Kami memilih untuk mereka busana yang diinspirasikan daripada filem Hollywood, Clueless yang popular pada tahun 90-an bagi menonjolkan imej baharu Rizman Ruzaini yang lebih segar dan muda.

“Kali ini, kami mahu mengetengahkan rekaan yang mampu diterima peminat fesyen di sana, yang lebih menggemari fesyen kasual dan gaya jalanan, berbanding rekaan dengan perincian berat, glamor serta mewah yang sering dikaitkan dengan jenama Rizman Ruzaini.

“Kami melihat inilah masanya kami mencuba ‘aliran’ baharu namun dalam masa yang sama menyuntik elemen tempatan dalam rekaan,” katanya ditemui dalam sidang akhbar Misi Dagangan dan Fesyen Malaysia ke New York 2018 di sini hari ini.

Sementara itu, Fiziwoo akan mengekalkan trend fesyen global yang diikuti mereka, iaitu rekaan estetik cape mode yang lebih bersahaja, namun jelas merungkai makna anggun dan mempunyai nilai esksentrik untuk dipersembahkan di pentas berprestij tersebut.

Menurut Presiden Peniagawati, Datuk Azlin Ahmad Shaharbi, selain dua nama besar tersebut pihaknya turut membawa 16 pereka dan jenama tempatan lain, seperti Fazbulous by Fazura, V Hijrah, Mak Cun, Adli Afandi, dan Adamaya.

Katanya, kesemua mereka akan beraksi di pentas Couture New York Fashion Week dan [email protected] dalam usaha memperkenalkan dan mempromosikan produk buatan Malaysia, sekali gus membuka pasaran baharu untuk usahawan-usahawan berkenaan.

“Selain acara fesyen, delegasi yang terlibat turut diberi peluang untuk bertemu pembeli dan komuniti perdagangan yang dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) New York menerusi program seperti Business Matching, Networking Reception dan pameran.

“Turut bekerjasama dengan pihak kami adalah Tourism Malaysia, Sarawak Tourism Board serta penaja utama, AmaxMall,” katanya. - UTUSAN ONLINE