Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, walaupun kes penipuan oleh peniaga secara dalam talian belum mencapai tahap membimbangkan, usaha SSM itu adalah antara langkah penyelesaian yang boleh menghalangnya daripada te­rus berlaku.

“SSM BizTrust ini adalah untuk semua peniaga dalam talian dan ditawarkan kepada mereka dengan menyediakan platform mendapatkan persijilan melalui logo yang akan dipaparkan pada laman web, portal atau media sosial mereka.

“Ini bermakna, apabila peniaga secara dalam talian itu mendaftar bagi mendapatkan logo berkenaan, pensijilan digital itu akan dapat me­yakinkan pengguna atau bakal pelanggan untuk berurusan dengan mereka.

“Ciri keselamatan logo itu juga sudah diambil kira pihak SSM, hanya mereka yang me­langgan produk SSM BizTrust akan memiliki logo berkenan dan tidak boleh dikongsi de­ngan orang lain,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran SSM BizTrust di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan di sini malam semalam.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, peniaga secara dalam talian boleh mendapatkan persijilan SSM BizTrust itu dengan membayar yuran atau fi yang ditetapkan.

“Untuk Fi pendaftaran dan pembaharuan bagi tempoh setahun, peniaga dikenakan bayaran RM200 bagi tahap satu, RM1,500 tahap dua dan RM2,500 untuk tahap tiga.

“Sebagai permulaan, kita memberikan diskaun bagi pengenalan selama setahun dan mereka hanya perlu bayar RM50 (tahap satu), RM1,000 (tahap dua) dan bagi tahap tiga pula, mereka cuma perlu bayar RM1,700,” katanya.

Beliau berkata, tujuan bayaran itu dikenakan adalah bagi memastikan peniaga secara dalam talian lebih bertanggungjawab terhadap perniagaan yang dijalankan.

“Kita juga berhak untuk menarik balik pensijilan yang dikeluarkan kepada mana-mana entiti perniagaan jika didapati melakukan penipuan atau menjual barangan tiruan kepada pelanggan,” katanya.