Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, aplikasi yang dinamakan sebagai Risikan Harga Ikan itu akan menjadi sumber rujukan rakyat bagi membuat perbandingan membabitkan sebanyak 20 spesies di 15 pasar borong dan 40 pasar runcit seluruh negara.

Selain itu menurut beliau, aplikasi tersebut juga dapat memastikan peniaga mengikut harga yang ditetapkan agensi itu sekali gus mengelakkan penipuan.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian langkah mengelakkan masalah orang tengah dan platform bagi memastikan peniaga mematuhi harga yang ditetapkan.

“Malah, pengguna juga boleh membuat perbandingan harga. Kita  akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk tindakan selanjutnya selepas ini jika ada peningkatan harga yang melampau, ” katanya kepada pemberita selepas pelancaran aplikasi tersebut dalam Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018 dekat sini, hari ini. - UTUSAN ONLINE