Pada tahun ini sebanyak RM358.8 juta diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan.

Bagi memastikan per­khid­matan yang menyeluruh dan berkesan, RISDA mempu­nyai 13 pejabat negeri, 54 pejabat RISDA daerah dan 154 Pejabat RISDA stesen di seluruh negara.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini bagi memastikan RISDA sebuah agensi di bawah kementerian dapat ber-operasi secara menyeluruh di seluruh negara dalam memastikan tanggungjawab kepada pekebun kecil dapat dilaksanakan dengan cemerlang.

“Pelbagai program dilaksanakan RISDA di seluruh negara melibatkan pemerkasaan program tanam semula, peningkatan pendapatan pekebun kecil, mempergiatkan aktiviti hiliran serta memperbanyakkan program touch point dengan mendekati pekebun kecil.

“Jadi kerajaan melalui RISDA membuat perbelanjaan yang besar contohnya dalam projek penanaman semula getah yang menelan belanja kira-kira RM223 juta tahun ini tidak termasuk peruntukan tambahan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pejabat RISDA Raub di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Ke­usa­hawanan dan Kepenggunaan ne­geri, Datuk Seri Shahiruddin Ab. Moin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, Datuk Abdul Aziz Mat Kiram; Setiausaha Bahagian Kanan (Khidmat Pengurusan) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Sollehuddin Alyubi Zakaria dan Ketua Pengarah RISDA, Datuk Wan Ahmad Shabri Zainuddin Wan Mohamad.

Pejabat RISDA Raub yang mempunyai 56 kakitangan dibina pada 2012 dengan kos sebanyak RM4.4 juta dan siap sepenuhnya pada 2013.

Menurut Ismail Sabri, selain program penanaman semula, RISDA turut me­laksanakan pelbagai program lain termasuklah keusahawanan, modal insan, prasarana dan Rumah Bina Negara.

Katanya, RISDA juga menekankan program-program sokongan untuk pembangunan modal insan pekebun kecil se­perti Program Tuisyen Rakyat kepada anak-anak pekebun kecil getah.

“Pada tahun ini, RISDA negeri menerima peruntukan sebanyak RM90.3 juta bagi melaksanakan program tanam semula, keusahawanan, modal insan, prasarana dan Rumah Bina Negara.

“Daripada jumlah itu, RISDA negeri memperuntukkan seba­nyak RM57.9 juta untuk projek tanam semula getah, RM3.09 juta untuk aktiviti ekonomi tambahan dan keusahawanan, selain pelbagai program lain yang memberikan manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Shahiruddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Raub berkata, pelbagai program yang dilaksanakan RISDA secara berterusan amat signifikan dalam membantu masyarakat luar bandar khususnya pekebun kecil getah.

Ujarnya, program yang dilaksanakan RISDA menunjukkan komitmen besar kerajaan dalam membantu masyarakat luar bandar tanpa mengira kaum sama ada Melayu, Cina, India atau Orang Asli.