Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, laporan awal kajian tersebut oleh pakar daripada Pusat Racun Negara dan Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan USM mendapati ketum tidak berbahaya dan tiada kesan sampingan.

“Laporan kaji selidik sudah siap dan akan dibentangkan selewat-lewatnya bulan depan tetapi beberapa pakar kini berada di luar negara bagi menjalankan kajian secara lebih terperinci.

“Pembentangan ini perlu supaya ketum dapat diusahakan sebagai salah satu komoditi bagi membantu pekebun kecil meraih pendapatan tambahan,” katanya dalam sidang akhbar Program Kasihi Rakyat JDT di Pagoh, di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Ismail Mohamed dan Pengarah RISDA negeri, Daman Huri Toha.

Pada Julai tahun lalu, Zahidi mengesyorkan agar pekebun kecil di negara ini diberi kebenaran menanam daun ketum untuk dieksport ke luar negara sebagai alternatif meningkatkan pendapatan golongan berkenaan, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap getah.

Tambah beliau, pihaknya juga telah mengadakan perbincangan dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) dan Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan berhubung perkara itu. -UTUSAN ONLINE