Zahidi Zainul Abidin

Pengerusinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, campur tangan dan salah guna kuasa itu menyebabkan RISDA kehilangan RM15,545,400 iaitu 10 peratus daripada RM155.4 juta nilai pembelian tanah tersebut.

Sehubungan itu, beliau yakin siasatan SPRM berhubung perkara tersebut akan membawa pihak yang terlibat ke muka pengadilan.

“RISDA kesal dengan campur tangan dan salah guna kuasa individu terbabit dalam jual beli ini kerana walaupun mengetahui statusnya tanah Hak Adat Bumiputera tidak boleh dipindah milik, namun perjanjian pembeliannya diteruskan menyebabkan RISDA kehilangan RM15,545,400.

“Kita yakin keupayaan SPRM dan amat berterima kasih atas siasatan yang sedang dijalankan kerana tindakan atau pendakwaan perlu dikenakan terhadap individu yang didapati bersalah tanpa mengira statusnya sebagai bekas menteri atau sesiapa sahaja,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Zahidi berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan siasatan SPRM terhadap dua pemimpin parti di Sabah termasuklah seorang bekas menteri yang dikatakan terlibat dalam salah guna kuasa dan penyelewengan membabitkan wang deposit pembe­lian tanah oleh RISDA.

Menurutnya, RISDA mengambil beberapa langkah sewajarnya dari aspek perundangan terma­suk membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.

“Kini kita serahkan sepenuhnya kepada SPRM yang masih lagi menjalankan siasatan berhubung isu berkenaan dan sebarang bentuk hukuman atau tindakan hanya boleh diputuskan berdasarkan peruntukan undang-undang,” katanya.