Bayaran dividen itu disampaikan Ahli Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim hari ini yang mana 203 orang daripadanya merupakan pesert Rancangan Tanam Baharu Berkelompok (RTBB) manakala penerima selebihnya merupakan para peserta di bawah rancangan Tanam Semula Komersial (TSK).

"Kesemua pekebun kecil yang menerima dividen hari ini adalah mereka yang mengusahakan tanaman getah yang merangkumi keseluruhan kawasan seluas 596.03 hektar di Selangor.

"Bagaimanapun, pembayaran dividen ini mengikut kepada keluasan tanah mengikut para peserta pekebun kecil. Ada peserta RTBB menerima dividen sehingga RM4,000 bagi setiap ekar tanah. Manakala peserta TSK pula menerima RM200 bagi setiap ekar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Penyampaian Dividen RISDA Peringkat Negeri Selangor di Dewan Generasi Warisan di Bestari Jaya di sini hari ini.

Selain itu, beliau turut menyerahkan pembiayaan Skim Biasiswa Anak Pekebun Kecil sebanyak RM15,000 kepada para penerima sempena majlis itu.

Pada masa sama, Irmohizam yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berharap dividen yang diterima para pekebun kecil itu dapat dimanfaatkan oleh golongan berkenaan terutamanya dalam membuat persiapan menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.

Malah, beliau turut meletakkan keyakinan yang tinggi terhadap RISDA sebagai sebuah agensi Kerajaan Pusat yang mampu meningkatkan taraf hidup serta kebajikan golongan pekebun kecil. - UTUSAN ONLINE