Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga & Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, peruntukan itu akan disalurkan ke Tabung Darul Iman bagi melancarkan kerja-kerja itu bagi meringankan bebanan mangsa.

"Bagi pihak kerajaan negeri saya turut berdukacita dan mengucapkan takziah kepada mangsa di samping itu kita bersetuju untuk membaiki dan membantu perkara yang diperlukan bagi memastikan kesejahteraan hidup mereka kembali pulih.

"Berdasarkan rekod, kawasan yang paling banyak terjejas ekoran ribut kelmarin adalah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam di sini dengan lebih 600 buah rumah manakala di Buluh Gading membabitkan lebih 500 buah rumah," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita sejurus selesai mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Iman di sini hari ini yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beratus buah premis kediaman dan sekolah terjejas di daerah ini dan juga Kuala Nerus akibat ribut yang melanda petang kelmarin dengan kebanyakannya melibatkan bumbung dan dinding terkopak manakala hampir 30 kes pokok tumbang, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Di samping itu sebanyak 48 buah sekolah termasuk di Hulu Terengganu, Dungun, Marang turut terjejas namun sekolah beroperasi seperti biasa.

Hanafiah berkata, ribut yang melanda kelmarin merupakan yang terburuk membabitkan ramai mangsa, kesan daripada peralihan monsun dalam tempoh yang panjang.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta semua daerah agar memulakan mesyuarat persediaan banjir selewat-lewatnya pertengahan bulan ini untuk mengenal pasti dan memastikan kesiapsiagaan menghadapi bencana itu. - UTUSAN ONLINE