Ketua Pengarah Jabatan Meterologi Malaysia, Datuk Alui Bahar berkata, dengan keadaan atmosfera yang tidak stabil, telah menggalakkan pembentukan awan ribut petir kumulunimbus di beberapa kawasan termasuk Putrajaya pada petang semalam.

Ujarnya lagi, keadaan itu dijangka akan berterusan untuk beberapa hari akan datang.

"Kehadiran awan ribut petir lazimnya akan disertai dengan kilat, guruh, angin kencang dan hujan lebat dalam tempoh satu hingga dua jam.

"Hujan lebat mungkin boleh berlaku bersekali dengan hujan batu dalam sesetengah keadaan," katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ujarnya lagi, angin kencang itu boleh menyebabkan pokok-pokok tumbang dan sekali gus merosakkan bumbung rumah.

"Kejadian ribut petir dan hujan lebat yang berterusan dalam tempoh masa yang panjang boleh menyebabkan berlakunya banjir kilat di kawasan-kawasan rendah.

"Sehubungan itu, orang ramai juga disarankan untuk sentiasa mendapatkan maklumat terkini berkaitan dengan cuaca dan amaran cuaca melalui laman web Jabatan Meteorologi Malaysia, www.met.gov.my," katanya.

Alui menambah, selain itu mereka boleh menggunakan aplikasi telefon iaitu MyCuaca atau facebook/malaysiamet, Instagram metmalaysia, twitter @malaysianmet atau di talian 1300221638.

Semalam, beberapa kawasan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan dilanda ribut kencang sehingga menyebabkan pokok tumbang dan menimpa beberapa buah kereta milik penduduk. - UTUSAN ONLINE