Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Said Sidup berkata, pihaknya mene­rima 25 laporan membabitkan kerosakan rumah penduduk di dua daerah di bahagian Seberang Perai selepas kejadian angin kuat berkenaan.

Menurutnya, rumah penduduk yang terlibat itu merangkumi 26 buah rumah di daerah Seberang Perai Utara dan 14 buah rumah di Seberang Perai Tengah.

“Susulan kejadian angin kuat yang melanda beberapa bahagian negeri ini malam tadi, JKM menerima 40 laporan membabitkan kerosakan rumah penduduk.

“Namun kita masih belum menerima laporan lengkap jumlah sebenar penduduk yang terjejas akibat kejadian itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam tadi, angin kuat disusuli hujan lebat selama hampir 30 minit melanda beberapa kawasan mengakibatkan kejadian pokok tumbang di beberapa lokasi di lima daerah di negeri ini.

Kejadian juga difahamkan mengakibatkan pintu kaca cawangan sebuah bank di Sungai Dua pecah manakala beberapa kenderaan milik Universiti Sains Malaysia (USM) mengalami ke­rosakan akibat ditimpa dahan pokok yang tumbang.

Antara kawasan yang dilaporkan terjejas sekitar Butterworth merangkumi kawasan Sungai Dua dan Raja Uda; Georgetown; Sungai Dua Glugor, Bayan Lepas dan sekitar kampus induk USM.