Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, maklumat tersebut berdasarkan laporan terkini yang diterimanya dan secara nyata beliau melihat tidak kurang 5,000 nelayan di Pulau Pinang akan kehilangan sumber menangkap ikan.

Katanya, hal itu berikutan tempat yang mahu ditambak merupakan lubuk dan tempat pembiakan udang, ketam dan ikan.

“Kalau ini hilang (ditambak), semua di Semenanjung akan mengadu tiada ikan kembung kerana di sana banyak ikan ber­kenaan yang tidak bermusim.

“Bagaimanapun, seperti saya maklumkan sebelum ini permohonan berkenaan masih dalam penilaian berikutan tiga laporan belum lagi diterima iaitu kesan perikanan, impak sosial dan laporan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek sistem perparitan Kampung Rampangi di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Dr. Md. Nasir Md. Noh; Pengarah JPS negeri, Chok Moi Soon dan Pemanca Bandaraya Kuching Utara, Roshidi Junai.

Projek Sistem Perparitan Kampung Rampangi itu bernilai hampir RM500,000 bagi melancarkan aliran air hujan yang bertakung dari parit di kawasan penempatan ke saluran air keluar utama.

Pada Khamis lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyifatkan kenyataan Wan Junaidi sebelum ini tidak berasas, dwi standard dan tidak bertanggungjawab.

Mengulas lanjut Wan Junaidi berkata, setelah semua laporan diperolehi baru keputusan kajian impak alam sekitar (EIA) dan Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) dikeluarkan sama ada diluluskan atau tidak.

“Pandangan yang diberikan sebelum ini adalah penilaian peri­ba­­di saya sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar dengan melihat kesan-kesannya, maka tidak bersetuju dengan projek tambakan berkenaan,” ujarnya.