Selain itu, penyertaan kali ini juga mencatatkan satu rekod baharu apabila daripada 500 judul buku yang dipamerkan, hampir 300 judul atau lebih 600 naskhah telah terjual, khususnya koleksi bahan bacaan kanak-kanak dalam bahasa Inggeris seperti siri Sang Kancil dan Kampung Boy.

Pencapaian itu sekali gus menjadikan penyertaan Malaysia dalam RIBF 2017 sebagai pa­ling berjaya sepanjang menyertai gelanggang pesta buku antarabangsa, malah Presiden Persatuan Penerbit Arab Saudi, Ahmad Fahed Al Hamdan me­ngakui bahawa Malaysia adalah Negara Tetamu Kehormat RIBF terbaik sejak ia dianjurkan 10 tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Insti­tut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Mohd. Khair Nga­diron berkata, sebelum ke RIBF, pihaknya tidak mempunyai gambaran jelas tentang pasaran buku di Arab Saudi dan membuat persediaan hanya berpandukan kepada laporan Pertubuhan Pendi­dikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNES­CO) yang antara lain menyebut ma­syarakat Arab Saudi membaca hanya setengah halaman buku setahun.

“Namun, sepanjang 10 hari di RIBF, sambutan yang diterima Pavilion Malaysia sama ada dari aspek jumlah pengunjung, potensi urus niaga, layanan dan liputan media di sini memang di luar dugaan dan melebihi jangkaan awal,” katanya ketika ditemui pada hari akhir RIBF di sini hari ini.

Mohd. Khair menambah, pendekatan Malaysia yang datang dengan pakej lengkap termasuk dengan tema khas yang menyokong Visi 2030 Arab Saudi iaitu ‘Pembaca Muda: Projek Tanpa Sempadan,’ persembahan kebudayaan, demonstrasi ilustrasi dan seni serta aktiviti hiliran yang lain menjadikannya sangat berbeza dengan negara lain yang hanya mempamerkan bahan penerbitan.