Nelayan perseorangan dan nelayan menggunakan tongkang mengeluh hasil ikan semakin berkurangan sejak projek tambakan laut yang dilaksanakan di kawasan perairan Selat Melaka untuk tujuan pembangunan.

Abdul Khalid Mohd. Zin, 65, dari Kampung Tambak Sebelong berkata, jika dahulu nelayan di kawasan itu mampu memperoleh pendapatan antara RM300 dan RM400 hanya pada waktu pagi, namun ketika ini untuk mendapat RM100 sehari agak sukar walaupun keluar dari pagi hingga ke petang.

“Kami terhimpit bukan sahaja dengan peningkatan kos sara hidup malah hasil ikan juga semakin kurang walaupun ada yang keluar sejak awal pagi.

“Purata pendapatan sehari­an kami hanya antara RM50 dan RM70, dengan jumlah itu hendak beri anak-anak dan cucu makan pun susah,” katanya ketika ditemui di Jeti Nelayan Muara Sungai Duyong di sini hari ini.

Menurut Abdul Khalid, pe­mimpin kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) juga perlu turun padang melihat sendiri masalah dihadapi golongan nelayan kerana mereka juga perlukan perhatian.

Katanya, ada dalam kalangan wakil rakyat yang langsung tidak mempedulikan nasib dihadapi golongan itu kerana ketika ini, mereka memerlukan bantuan bukan setakat wang ringgit malah nasihat, perangsang dan sema­ngat untuk terus menghadapi kenaikan kos sara hidup.

Bagi seorang lagi nelayan, Ahmad Othman, 71, kerajaan PH yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada Mei lalu perlu segera bertemu dengan rakyat bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi golo­ngan nelayan.

“Wakil rakyat kena bantu, turun padang dan melihat sendiri masalah yang dihadapi. Kami mahu perubahan tapi selepas PRU-14, sama sahaja apabila nasib nelayan tidak terbela.

“Kerajaan sekarang kena buka langkah segera, turun bantu penduduk kerana sudah tujuh bulan bertukar kerajaan jadi kami mahu perhatian,” katanya.

Mohd. Arif Takim, 58, yang mencari rezeki dengan bekerja sebagai nelayan bot tongkang pula memberitahu, musim hujan ketika ini menambah penderitaan para nelayan apabila tidak ramai yang dapat turun ke laut sekiranya cuaca buruk.

“Bantuan Sara Hidup yang diberikan kerajaan bukanlah bermakna kami tidak bersyu­kur, tetapi jika dinilai dengan kos barangan sekarang, jumlah itu tidak mencukupi. Nelayan juga tidak boleh mengharapkan kerajaan sahaja yang bantu tapi kalau harga barang naik, hasil ikan kurang, apa akan jadi kepada nelayan,” katanya.