RAIS YATIM

Penasihat Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Ya­tim berkata, pihak­nya sedang merangka kesemua tuntutan dalam resolusi itu yang akan digulung pada hari berkenaan.

“Satu resolusi itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri pada Sabtu ini manakala satu lagi kepada wakil Raja-raja Melayu sama ada akan diserahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah atau menerusi Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu.

“Malah, kita juga berhajat untuk mengadap sultan di beberapa negeri untuk mengemukakan pandangan daripada kongres ini serta kerjasama para gabenor di Sabah, Sarawak, Melaka dan Pulau Pinang supaya turut tidak ketinggalan dalam pemerhatian berhubung budaya paras tinggi ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rais yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Induk Kongres Budaya 2017 berkata, pihaknya juga sedang me­nerima input-input terkini berkaitan Raja-raja Melayu iaitu bagaimana mengubah pendirian mereka berkaitan adat Melayu.

Beliau berkata, menghidupkan semula adat Melayu amat penting supaya ke­relevanannya dalam Perkara 160 dapat menguatkan masyarakat Me­layu kembali serta memenuhi syarat Perlembagaan Persekutuan di samping mengukuhkan institusi Raja Berperlembagaan.

“Ini kerana jika adat dike­tepikan maka raja Melayu akan lemah dan definisi Melayu hilang serta identiti Melayu juga akan terhapus,” jelasnya.

Beliau memberitahu, seba­nyak tujuh resolusi atau cada­ngan penting telah dikemukakan dalam beberapa penganjuran pra-Kongres Budaya yang telah berlangsung sejak awal Mac lalu.