Dalam wawancara eksklusif oleh The Third Age Media Association dan Bernama News Cha­nnel (BNC) baru-baru ini di Yayasan Ke­pimpinan Perdana di sini, beliau berkata, tiada siapa akan mampu me­ngubah pasangan mereka, sebaliknya mereka saling menerima keadaan ma­sing-masing sebagai ca­ra untuk menjalin hubungan yang sihat dan seimbang.

Dengan wajah tersipu-sipu dan senyuman manis, katanya, beliau sentiasa terkenangkan kehidupan indah di waktu muda bersama-sama Dr. Siti Hasmah yang juga menjadi tulang belakang kejayaannya.

“Ya, isteri saya selalu berkata di belakang seorang suami yang berjaya ialah seorang isteri, bukan sekadar seorang wanita,” kata Perdana Menteri berusia 93 tahun itu.
 Menurutnya, pada awalnya sudah pasti ada perbezaan, ketega­ngan dan semua itu.

“Tetapi apabila anda bertambah tua anda sedar anda tidak boleh mengubah banyak diri pasangan anda dan beliau juga tidak boleh mengubah ba­nyak diri saya dan kami belajar untuk saling menerima dan itulah diri sebenar seseorang itu,” katanya.

Tatkala beliau menghabiskan banyak masa dalam politik, Dr. Siti Hasmah sentiasa menemani­nya walaupun tidak terlibat dalam politik.

“Beliau menemani saya dan jika terpaksa tinggalkannya ke­rana ada kerja, beliau bertolak ansur dengan saya. Begitu juga saya akan bertolak ansur de­ngannya bagi perkara tertentu yang beliau lakukan,” katanya.

Pasangan itu bertemu di Kolej Perubatan King Edward VII di Singapura (kini sebahagian National University of Singapore) pada 1947 dan berkahwin pada 1956. – BERNAMA