Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, Residensi Wilayah merupakan penjenamaan semula Rumawip yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu.

Beliau berkata, berbeza dengan Rumawip, Residensi Wilayah bakal menyaksikan pembinaan unit rumah yang lebih luas dan kualiti yang dipertingkat untuk kelesesaan penduduk, namun masih pada harga mampu milik iaitu RM300,000 per unit.

Malah katanya, kepadatan di Residensi Wilayah juga ditambah baik dengan dikurangkan kepada antara 800 hingga maksimum 1,000 penduduk atau 250 unit apartmen bagi setiap satu ekar, berbanding Rumawip antara 1,200 hingga 1,600 orang atau 400 unit apartmen setiap satu ekar.

"Pelaksanaan projek ini dibuat atas dasar kerjasama atau inisiatif antara sektor awam dan swasta. Kita akan cari tanah-tanah sama ada swasta atau milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau kerajaan, untuk dibangunkan dengan Residensi Wilayah ini," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Menurut Khalid, kerajaan akan memberikan insentif berupa premium dan caj pembangunan yang rendah kepada pihak swasta yang terlibat dalam membangunkan tanah mereka dengan projek Residensi Wilayah.

Beliau berkata, pihak kementerian akan mengadakan kempen pelaksanaan projek Residensi Wilayah sempena Sambutan Hari Wilayah pada 1 Februari ini.

Beliau turut menyatakan hasrat kementerian untuk melaksanakan projek pembangunan semula perumahan murah yang telah usang di sekitar Wilayah Persekutuan seperti Sri Labuan di Bandar Tun Razak dengan projek baharu yang lebih menarik. - UTUSAN ONLINE