Biarpun sukar untuk mengungkapkan kata-kata ketika ditemui, R. Ghaayatgiraan, 18, yang kelihatan letih disebabkan penyakit yang dihidapinya sejak empat tahun lalu tetap tersenyum.

Ibunya, A. Geetha Davi berkata, dia mendapat panggilan daripada pihak hospital malam tadi yang meminta membawa anak­nya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pagi ini.

Katanya, dia berasa pelik apabila pihak hospital kemudian meminta nombor kad pengenalannya dan suami.

“Apabila tiba di sini, saya lihat ramai petugas media dan berfikir mungkin ada kejutan untuk anak saya,” katanya ketika ditemui.

Ghaayatgiraan yang kini sedang bercuti sakit daripada tugasnya di sebuah hotel dibawa menaiki pesawat berkenaan selama kira-kira 30 minit menuju ke pulau legenda itu bersama ibu dan ayahnya.

Program berkenaan merupakan hasil kerjasama antara Persatuan Impian Kanak-kanak Malaysia dengan PDRM.

Geetha Davi berkata, dia sekeluarga terharu dengan perhatian yang diberikan masyarakat terhadap penyakit anaknya yang kini memasuki proses rawatan kemoterapi.

“Dia suka makan kangkung dan semalam, Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said telah membawanya menaiki penerbangan ke Kuala Lumpur untuk menikmati makanan berkenaan di sebuah hotel dan membeli-belah sebelum pulang semula,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Impian Kanak-Kanak Malaysia, Teoh Teik Hoong berkata, sejak ditubuhkan 12 tahun lepas, pihaknya telah menunaikan impian lebih 800 kanak-kanak dan remaja yang sakit.

“Ketika ini, ada beberapa kanak-kanak yang tidak sihat sedang menunggu impian mereka ditunaikan dan melalui kerjasama pelbagai pihak, kita berasa gembira kerana dapat memberikan senyuman kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik ini,” katanya.