Azrul Shafiq

Namun pagi ini, remaja itu dikejutkan pula dengan berita kematian bapanya, Alfian Saarani, 42, yang tidak sedarkan diri selepas mengalami pendarahan otak, usus dan patah tulang belakang akibat kemalangan itu.

Alfian disahkan meninggal dunia pada pukul 1.25 pagi oleh pihak Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban.

Ibunya, Saniah Sabri, 41, yang terseliuh leher dan mengalami gegaran otak pula, baru sahaja dibenarkan balik ke rumah saudara mereka di Puchong, Selangor, manakala dua adik kesayangannya, Noor Aishah Natasha, 11, dilaporkan koma dan lumpuh separuh badan manakala dan Azrin Shairie, 12, pula patah paha kiri.

Noor Aishah Natasha kini berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL) berikutan keadaan kritikal, manakala seorang lagi adiknya berusia lima tahun terselamat dalam nahas tersebut.

“Bapa saya sudah tiada. Saya dimaklumkan kematiannya pada pukul 1.25 pagi tadi. Jenazah bapa telah dibawa balik ke Teluk Intan, Perak untuk dikebumikan,'' katanya ketika dihubungi hari ini.

Azrul Shafiq berkata, dia yang kini mengambil alih tugas menjaga ibu dan adik-adiknya, mengharapkan doa daripada rakyat negara ini agar, Noor Aishah Natasha yang koma kembali pulih, begitu juga Azrin Shairie dan ibunya, Saniah.

Dalam kejadian Khamis lalu, kereta Proton Iswara yang dipandu arwah dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta Honda City yang dipandu lelaki berumur 39 tahun di Kilometer 287, Lebuh Raya Utara-Selatan, menghala selatan berdekatan Hentian Sebelah Nilai, dekat sini.

Akibat rempuhan itu, kenderaan yang dinaiki lima sekeluarga itu terbabas dan remuk teruk.

Kata Azrul Shafiq, dia menerima khabar sedih itu selepas dihubungi jiran apabila didatangi anggota polis di rumahnya di Taman Kasturi, Bukit Beruntung, Rawang.

“Pada waktu itu saya berada di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Kubu Bharu, Selangor dan baru selesai menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM),” jelasnya.

Ketika nahas berlaku, lima beranak itu dalam perjalanan ke Melaka menaiki sebuah kereta yang dipinjam dari rakan untuk mengambil seorang lagi adik Azrul Shafiq iaitu Noor Aishah Shahira, 16, yang belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghafar Baba.

Tambah Azrul Shafiq, arwah bapanya hanyalah seorang peniaga sate sambil dibantu ibunya bagi menyara kehidupan sekeluarga.

“Noor Aishah Shahira ketika ini menjaga Noor Aishah Natasha di HKL. Pada masa sekarang, saya menyewa di sebuah inap desa berhampiran HTJ kerana tidak berdaya untuk berulang alik dari Rawang setiap hari,” ujarnya.

Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN), Noor Aishah Shahira iaitu 1099 5410 0013 1439.

habis