D. Yugendran
D. Yugendran

Difahamkan, D. Yugendran yang merupakan pelajar tingkatan lima sebuah sekolah di sini dipercayai dipukul dengan kayu oleh seorang suspek ber­usia 21 tahun sebelum mayatnya dibuang ke dalam sungai ber­kenaan.

Ketua Polis daerah, Supe­rintenden Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, mayat Yugendran ditemukan terapung di Sungai Klau kira-kira pukul 3 petang oleh anggota bomba dan penyelamat yang menjalankan operasi selepas penahanan suspek.

“Susulan laporan polis yang dibuat keluarga mangsa Sabtu lalu, polis menahan seorang suspek dua hari kemudian. Berdasarkan soal siasat, suspek mengakui pernah bergaduh dengan mangsa.

“Mangsa didakwa sering mengganggu suspek sebelum ini sebelum mayatnya ditemukan semalam iaitu kira-kira 500 meter daripada lokasi mayat mangsa dibuang di sungai berkenaan,” kata­nya di sini hari ini.

Yugendran didapati hilang pada Khamis lalu selepas memberitahu keluarganya mahu keluar untuk berjumpa rakan-rakannya.

Berikutan itu, ibunya membuat laporan polis pada Sabtu lalu menyatakan mang­sa tidak pulang ke rumah yang mana laporan itu diklasifikasikan sebagai orang hilang.

Menurut Wan Mohd. Zahari, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raub untuk bedah siasat dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, suspek yang ber­alamat di Bayan Lepas, Pulau Pinang direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan.