Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata, hal demikian kerana menjelang 2020, negara memerlukan 60 peratus tenaga kerja mahir untuk mencapai status negara maju berbanding hanya 23 peratus ketika ini.

“Kalau dulu mungkin sudah terbiasa sekiranya hantar anak ambil sains tulen, ini budak bijak, yang masuk sekolah vokasional tidak dianggap bijak. Zaman hari ini tidak boleh lagi ada pemikiran seperti ini.

“Jangan dijadikan budaya dalam masyarakat yang hantar anak dalam bidang kemahiran ialah mereka yang gagal, tidak sama sekali,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pameran Kerjaya Berasaskan Sektor (SFCF) anjuran bersama Talent Corporation dan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) di sini hari ini.

Yang turut hadir Naib Canselor Uniten, Prof. Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha dan Ahli Parlimen Rompin, Datuk Hasan Arifin.

SFCF memberikan fokus kepada 11 sektor dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) termasuk minyak dan gas, elektronik dan elek­trik, teknologi maklumat, bio­teknologi, kewangan, perakaunan, pelancongan serta pendidikan.

Uniten merupakan satu daripada tujuh lokasi SFCF yang bertujuan meningkatkan kesedaran penuntut mengenai bidang patut diceburi selepas menamatkan pengajian masing-masing.

Razali berkata, kerajaan menerusi semua agensi dan jabatan berkaitan akan bekerjasama bagi meningkatkan pemahaman kepada ibu bapa termasuk para pelajar terhadap kepentingan bidang kemahiran.

“Oleh sebab itu, kita di bawah Kementerian Pendidikan memberi penekanan kepada Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang menjadi elemen penting dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11),” katanya.