Muhammad Ramadhan Alias
Muhammad Ramadhan Alias

Demikian luahan kakak kepada remaja penghidap leukemia tahap empat, Mohd. Ramadhan Alias, 20, yang meninggal dunia di Hospital Al-Ansar, Madinah kira-kira pukul 11.30 pagi ini.

Menurut Maryam Fatihah, 30, ‘keengganan’ adiknya yang mesra dipanggil Adam untuk mencuba pakaian ihram itu mungkin petanda bahawa remaja berkenaan akan pergi selamanya di ta­nah suci tanpa sempat menunaikan impian terakhir untuk mengerjakan umrah dan memohon bertemu Ramadan akan datang.

“Sebelum berangkat ke sana, Adam sangat gembira kerana diberi peluang yang amat bermakna apatah lagi dia bertarung nyawa de­ngan penyakit.

“Tetapi pakaian ihram­nya langsung tidak disentuh sebaliknya, terus di­simpan ke dalam beg. Kami sekeluarga reda dengan pemergian Adam. Emak semakin tenang dan mahu meneruskan urusan umrahnya dan adik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Impian Mohd. Rama­dhan untuk melangkah kaki di tanah suci bagi mengerjakan umrah hampir tercapai apabila dengan ihsan kerajaan negeri dan Pejabat Perdana Menteri menaja pemergiannya bersama ibu, Saibah Yaacob, 56.

Kedua-dua beranak itu berangkat ke sana Rabu lalu setelah remaja tersebut menyuarakan luahan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang menziarahinya baru-baru ini.

Allahyarham yang ber­asal dari Paka, Dungun menghembuskan nafas terakhir di Hospital Al-Ansar selepas dimasukkan ke sana petang semalam.

Maryam Fatihah berkata, tahap kesihatan adik bongsunya itu makin bertambah kritikal pagi semalam apabila dia sudah tidak boleh bercakap dan tidak sedarkan diri.

“Sebaik sahaja sampai di Madinah, Adam sudah tidak berupaya jalan. Atas nasihat petugas umrah, Adam kemudian dibawa ke hospital selepas solat Asar semalam. Sebelum itu, Adam sempat menziarahi Masjid Nabawi.

“Pukul 9 pagi tadi saya sempat bercakap dengan emak yang mahu ke masjid untuk menunaikan solat subuh. Emak tahu tentang pemergian adik semasa iktikaf di masjid melalui panggilan telefon,” katanya.

Maryam Fatihah memberitahu, urusan solat jenazah adiknya akan dibuat di Masjid Nabawi petang ini sebelum dikebumikan di sana.

Mohd. Ramadhan disahkan menghidap penyakit kronik itu pada Ramadan tahun lalu.