Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, Mohd. Azam Hanafi,14, yang merupakan anak yatim piatu mandi bersama dua sepupu dan dua rakannya selepas pulang dari kelas mengaji al-Quran.

Mayat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji itu ditemukan penduduk kampung tidak lama selepas kejadian.

Salah seorang rakan mangsa, Haikal Syahmi Shafizan, 13, berkata, mereka berlima singgah di tali air tersebut untuk mandi.

“Ketika mandi saya sempat melihat tangan Mohd. Azam tenggelam timbul sambil meminta tolong kami. Saya dan rakan-rakan terus menjerit meminta bantuan penduduk kampung,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Sementara itu, saudara mangsa, Nor Hayati Mohamad Nor, 40, berkata, mangsa dijaga oleh ibu saudaranya, Nor Hasnah Mustafa, 53, sejak kecil selepas ibu kandung meninggal dunia pada 2005 dan ayahnya pula meninggal dunia pada tahun lalu.

“Mayatnya dibawa ke Klinik Kesihatan Kota Jembal sebelum dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ). Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mentuan,” katanya.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut. - UTUSAN ONLINE