Lee Lam Thye

Naib Pengerusi Ya­yasan Pencegahan Je­nayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, data yang dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia daripada kajian pelbagai univer­siti tempatan terhadap penggunaan media sosial mendapati 60 peratus responden mengalami kebimbangan manakala kemurungan (31.7 peratus) dan tekanan perasaan (20 peratus).

Beliau berkata, daripada kese­luruhan responden itu juga, sejumlah 59.2 peratus didapati menampakkan tabiat ketagihan yang tidak sihat terhadap media sosial.

“Perkembangan yang pesat terhadap penggunaan Internet terutama media sosial dalam kehidupan masyarakat sememangnya banyak memberikan kemudahan seperti dalam urusan perbankan, pencarian maklumat, pendaftaran dalam talian, urusan jual beli, komunikasi dan sebagainya.

“Namun, impak negatif ber­ka­itan Internet juga tidak dinafikan sering berlaku seperti lalai ketika menggunakan media sosial, permainan video dan perjudian dalam talian, menonton video lucah dan sebagainya yang boleh menjejaskan kesihatan mental remaja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, pendekatan holistik perlu dilaksanakan oleh semua pihak bagi mengatasi masalah ini kerana gejala ketagihan Internet terutama media sosial dalam kalangan remaja semakin membimbangkan.

“Kesan ketagihan Internet dalam kalangan remaja ini jika tidak dibendung akan membe­rikan impak yang besar seperti pembaziran masa, kerosakan akhlak dan moral, ponteng sekolah, penurunan minat untuk belajar, pengabaian nilai-nilai ke­keluargaan, kemurungan dan sebagainya.

“Oleh itu, sudah tiba masanya juga agar sebuah Jawatankuasa Perunding Pemerkasaan Media Digital diwujudkan bagi menambah baik modul pembelajaran teknologi maklumat di sekolah-sekolah,” jelasnya.