Siti Mas Dayana Masrizul

Siti Mas Dayana Masrizul, 19, berkata, kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah hari Sabtu lalu itu berlaku ketika dia mahu menggunakan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan CDM di bank berkenaan.

Katanya, dia terkejut apabila mendapati ada sejumlah wang di dalam mesin berkenaan sebelum mengambilnya dan bergegas ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar untuk membuat laporan.

“Semasa kejadian hari cuti dan bank pula tutup. Kebetulan hanya saya seorang ber­ada di ruangan ATM dan CDM bank itu. Selepas menyedari terdapat wang di dalam mesin itu, saya terus mengambilnya dan membuat laporan polis di IPD Kuala Kangsar.

“Walaupun tiada sesiapa nampak, tapi saya sedar tentang halal dan haram, sebab itu saya mahu kembalikan wang tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut anak sulung daripada lima beradik itu, dia tidak menyangka sumbangan sekecil itu mendapat pengiktirafan polis apabila mereka memaklumkan akan memberikan anugerah kepadanya.

“Ini sumbangan kecil saya bagi mengembalikan wang tersebut kepada pemilik yang berhak. Tindakan saya ini atas kesedaran dalam hal halal dan haram selain yakin dengan pembalasan Tuhan.

“Selain itu, ia juga didorong dengan perasaan iaitu sekiranya kita menolong orang pada hari ini, pasti kita akan mudah menerima bantuan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, menurut sumber pihak bank, wang tersebut dikembalikan oleh pihak polis bagi tindakan selanjutnya.