Malah kegilaan mereka yang ditentang keras oleh Islam turut menyaksikan kelompok berkenaan sanggup berkunjung ke premis mencacah tatu `haram’ dan tidak berlesen memandangkan permintaan mereka ditolak di pusat yang berlesen.

Perkara itu diakui seorang artis tatu di Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang turut menegaskan tidak menerima pelanggan beragama Islam kerana ia bertentangan dengan syarat dan lesen perniagaan mereka.

“Perniagaan kita berdaftar, berlesen dan segala syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa khususnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) harus dipatuhi termasuklah tidak membenarkan pelanggan beragama Islam mencacah tatu di sini.

“Kita akur dengan segala syarat yang dikeluarkan oleh pihak berkenaan kerana tidak mahu lesen perniagaan digantung atau pun ditarik. Selama ini pun kita hanya menawarkan perkhidmatan membuat tatu kepada pelanggan yang bukan yang beragama Islam,” katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.

Ditanya jumlah orang Melayu yang mahu mendapatkan perkhidmatannya, katanya, memang tidak dinafikan memang ramai dan rata-ratanya dalam kalangan orang muda.

“Bila kita tidak mahu buat mereka akan ke premis yang tidak berdaftar untuk mendapatkannya,” ujarnya.

Mengulas berhubung risiko berkunjung ke premis haram, dia memberitahu, pelanggan yang mendapatkan khidmat daripada individu tidak bertauliah serta tiada kepakaran akan terdedah dengan pelbagai alahan serta penyakit kulit.

“Ia sangat berbeza dengan pusat rawatan kecantikan atau kedai melukis tatu yang berdaftar. Alatan serta teknologi yang digunakan adalah yang terkini selain ia dikawal, dijaga rapi (pembasmi kuman) dan tidak memudaratkan kesihatan pengguna lain,” katanya.

Dalam pada itu, pemilik premis tatu tersebut turut mendedahkan, ada di antara pelanggannya dipercayai menganggotai kumpulan kongsi gelap.

“Mereka datang ke kedai ini dan meminta agar saya membuat tatu berbentuk nombor serta beberapa jenis lambang yang ada hubung kait dengan pergerakan kumpulan mereka.

“Namun begitu, selepas mendapati pihak berkuasa kerap melakukan pemantauan serta penahanan terhadap anggota kongsi gelap di seluruh negara, permintaan itu terus berkurangan dan kini tiada lagi,” ujarnya.

Tambahnya, kini, pelanggannya semakin berkurangan dan hanya menjadi tumpuan pelancong asing khususnya dari Australia yang gemar mendapatkan pelbagai jenis tatu termasuklah tatu pasangan, kaligrafi cina, corak bunga serta tulisan halus di beberapa bahagian badan mereka.