Remaja lelaki yang memakai penutup hidung dan mulut dengan tangan bergari diiringi beberapa anggota polis Unit Forensik tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 11.50 pagi.

Suspek dibawa ke bahagian belakang bangunan sebelum diiring naik ke tingkat tiga me­nempatkan asrama pusat tahfiz berkenaan yang terbakar dalam kejadian Khamis lalu itu.

Kira-kira pukul 12.55 tengah hari, suspek yang ditutup de­ngan kain dibawa keluar oleh anggota polis menggunakan kenderaan pacuan empat roda jenis Pajero.

Terdahulu, lebih 10 anggota Unit Forensik dilihat tiba di pusat tahfiz seawal 9.40 pagi sambil membawa peralatan terma­suk tripod dan beg.

Difahamkan, kehadiran Unit Forensik tersebut adalah bagi menjalankan pengimejan tiga dimensi di pusat tahfiz tersebut bagi membantu siasatan.

Menurut sumber, enam suspek lain telah dibawa ke pusat tahfiz berkenaan kira-kira pukul 7.30 pagi, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pu­kul 5.10 pagi, Khamis lalu, asrama di tingkat tiga bangunan pusat tahfiz tersebut terbakar dan meragut nyawa 21 pelajar dan dua guru.

Susulan kejadian tersebut, tujuh suspek berusia antara 11 hingga 18 ditahan reman kerana disyaki mendalangi kejadian dan dipercayai berbuat demikian bermotifkan balas dendam berikutan berlaku pertelingkah­an dan ejek-mengejek antara suspek dan pelajar pusat tahfiz terbabit.