Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, soko­ngan itu amat diperlukan kerajaan bagi meneruskan kesinambungan pentadbiran yang baik untuk semua rakyat.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua pegawai dan anggota Rela yang telah selama ini memberi sokongan kepada kerajaan sedia ada dan harap sokongan sama dapat diberikan pada 9 Mei ini.

“Insya-Allah, kita berjanji akan meneruskan pentadbiran dan per­khidmatan yang terbaik untuk semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Rela Ke-46 Peringkat Negeri Perak 2018 di Dataran Bagan Datuk, di sini baru-baru ini.

Lebih 5,000 anggota dan pegawai Rela dari seluruh negeri hadir pada program tersebut yang di­sempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Yang turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun; Ketua Pengarah Rela,

Zulkifli Abidin dan Ketua Setia­usaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Tambah Zambry, pasukan sukarelawan tersebut juga adalah satu contoh terbaik apabila dianggotai oleh pelbagai peringkat usia serta daripada semua kaum.

“Di mana-mana sahaja tidak kira program secara rasmi atau tidak, peristiwa, malapetaka, di sana pasti ada Rela dan kehadiran mereka ini menjadikan program tersebut dapat dijalankan secara sempurna.

“Walaupun tahu yang pakai uniform celoreng digital hijau ini ada peringkat yang tua, muda, adik, abang, kakak dan mak cik tapi semangat yang ditunjukkan mereka sepanjang masa amat hebat. Terima kasih saya ucapkan,” katanya.