Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, ia termasuk mereka bentuk semula pendidikan tinggi mengikut acuan Industri 4.0 yang kini berlaku di seluruh dunia.

Katanya, pihaknya telah memperkenalkan beberapa inisiatif baharu seperti yang termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) atau singkatannya, PPM (PT) 2015-2025.

“Sebagai contoh, kita memper­kenalkan Purata Nilai Gred Kumulatif Bersepadu (iCGPA) di mana para pelajar tidak hanya dinilai dari segi prestasi akademik semata-mata, tetapi juga melalui penyertaan mereka dalam aktiviti kokurikulum, sosial dan sukarela. Inisiatif ini adalah yang pertama di dunia.

“Kita juga memperkenalkan inisiatif 2 years University-2 years Industry (2u2i), program Massive Open Online Courses (MOOC), program [email protected] dan Pengakreditan Pembelajaran Bera­saskan Pengalaman Terdahulu (APEL).

“Semua inisiatif ini sedikit sebanyak telah mula menangani cabaran dan keperluan kritikal Industri 4.0,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Forum Pendidikan Tinggi Malaysia (MyHEF) 2017 di sini semalam.

Seramai 3,500 delegasi me­­n­yertai forum dua hari bermula semalam itu bertemakan Redesigning Education for Industry 4.0.

Delegasi terdiri daripada wa­kil-wakil industri, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dari institut pengajian tinggi serta mahasiswa.

Menurut Idris, MyHEF 2017 diadakan bagi meneroka kesan kemajuan teknologi, automasi serta gangguan inovatif yang dibawa oleh Industri 4.0 ke pasaran kerja tempatan dan global, selain melihat semula keperluan graduan, komuniti dan industri pada masa depan.

Katanya, MyHEF 2017 juga berkongsi pelbagai usaha berterusan yang dimulakan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi dalam merekabentuk semula pendidikan tinggi Malaysia.

“Mengikut trend persaingan global, adalah penting untuk sistem pendidikan tinggi Malaysia dapat menghasilkan graduan yang seimbang dalam pelbagai aspek seperti keusahawanan dan inovasi.

“Oleh itu, kita harus memanfaatkan potensi Industri 4.0 dan mewujudkan peluang kepada rak­yat Malaysia ke arah itu,” katanya.

Antara penceramah yang ha­dir berkongsi pandangan dalam forum itu ialah Naib Presiden Kanan Tencent Holdings, Lau Seng Yee; Naib Presiden Alibaba Group, Brian Wong; Pesuruhjaya Tinggi Britain di Malaysia, Paul Rennie dan Ahli Ekonomi Pendidikan Kanan Bank Dunia, Dilip Parajuli.