Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, bidang itu merupakan salah satu kunci kepada kemajuan sesesebuah negara kerana ia dijana melalui perkembangan idea serta aspirasi rakyat melibatkan sesuatu perkara sama ada dalam sektor ekonomi, teknologi, kemasyarakatan, budaya dan alam sekitar.

Malah katanya, perkembangan bidang itu turut bertepatan dengan usaha kerajaan melaksanakan Transformasi Nasional 2050 (TN50) untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan terbaik di dunia dalam tempoh 30 tahun akan datang.

“Di Singapura sebagai contoh, bidang reka bentuk sendiri menyumbang RM6.7 bilion nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) republik itu selain menjana 30,000 peluang pekerjaan pada tahun 2013 dan saya percaya Malaysia juga ada kemampuan yang sama,” katanya dalam majlis pengiktirafan Malaysia Good Design Mark (MGDM) 2016 di Shah Alam Convention Center (SACC) di sini malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah.

MGDM merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Reka Bentuk Malaysia (MRM) bagi memperakui serta mengiktiraf pencapaian sektor perindustrian melaksanakan program penyelidikan dan pembangunan berterusan dalam mempertingkatkan produk baharu.

Dalam majlis itu, sebanyak 32 produk hasil rekaan dan keluaran daripada 22 syarikat tempatan berjaya menerima pengiktirafan dengan Panasonic Malaysia muncul sebagai syarikat yang menerima Anugerah Khas MGDM 2016.